12/06/2010

Perancangan Strategik: Pencapaian Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
(Dari Tahun 1984-2004)

Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengalami perkembangan dan pencapaian yang membanggakan dalam melaksanakan peranan dan fungsinya ke arah memelihara perpaduan, keharmonian, keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Secara keseluruhan, pencapaian utama dalam pentadbiran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya adalah seperti berikut:-

  1. Penelitian Semula Perkhidmatan Awam (Civil Service Review)
    Pada peringkat awal penubuhannya, terdapat 13 buah Jabatan diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Walaubagaimanapun untuk memantap dan menyelaraskan peranan dan tugas yang lebih relevan, beberapa Jabatan / Bahagian telah diserapkan ke Kementerian lain.

  2. Penggubalan / Pindaan / Penguatkuasaan Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan
    Beberapa Akta dan Pindaan ke atas beberapa Peraturan telah digubal bagi memperkuatkan lagi fungsi dan peranan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya. Akta-akta yang digubal dan pindaan ke atas beberapa peraturan merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek-aspek 'Keselamatan dan Ketenteraman’, 'Kuasa-Kuasa Tempatan' dan 'Perhubungan Awam’.

  3. Penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan
    Pada memainkan beberapa peranan dan menjalankan fungsi yang dipertanggungjawabkan kepadanya, dan dalam usaha bersama menangani isu-isu atau masalah-masalah yang berkaitan dengan peranan dan fungsinya, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menubuhkan beberapa Jawatankuasa di peringkat kebangsaan.

  4. Keahlian Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Kebangsaan yang ditangani oleh lain-lain Kementerian/ Jabatan
    Sepanjang tempoh tahun 1984 - 2004, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi ahli kepada tidak kurang daripada 30 buah Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan, sama ada yang berbentuk berterusan atau berkala.

  5. Penubuhan Lembaga Pengelola dan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung
    Lembaga Pengelola dan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung telah diperkenankan penubuhannya pada tahun 1992 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Lembaga Pengelola adalah bagi menggantikan Jawatankuasa Perhubungan yang ditubuhkan pada tahun 1984. Manakala Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung pula adalah masing-masing bagi menggantikan Jawatankuasa Mukim dan Jawatankuasa Kampung.

    Majlis Perundingan Mukim dan Kampung ditubuhkan dengan tujuan:-

    • Mengukuhkan keberkesanan kepimpinan di peringkat akar umbi iaitu Institusi Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan Ketua Rumah Panjang;
    • Memupuk semangat kewarganegaraan yang baik dalam mendokong kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; dan
    • Merancang serta mengusahakan rancangan-rancangan bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

    Sejak pelancaran penubuhan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dalam tahun 1993 sehingga 2004, terdapat sebanyak 37 buah Majlis Perundingan Mukim dan 168 buah Majlis Perundingan Kampung di seluruh negara dengan keramaian ahlinya berjumlah 3,075 orang.

  6. Perhimpunan Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara
    Perhimpunan Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara diadakan buat julung-julung kalinya pada 8 dan 9 Muharram, 1417 bersamaan dengan 26hb dan 27hb Mei 1996 di Pusat Persidangan Antarabangsa di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat merasmikan Upacara Perhimpunan tersebut.

    Perhimpunan diadakan dengan tujuan antara lainnya untuk menyediakan satu rangka Program Kerja yang mengandungi aktiviti-aktiviti berkaitan dengan program perpaduan masyarakat, program pembangunan belia dan program-program lain yang difikirkan bersesuaian merangkumi bidang-bidang Kegiatan Keugamaan; Kegiatan Ekonomi; Kegiatan Belia dan Sukan; Kegiatan Kemasyarakatan dan Keselamatan; Kegiatan Pendidikan dan Sumber Tenaga Manusia; Kemudahan Asas dan Alam Sekitar; dan Kegiatan Perusahaan.

  7. Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung 1992 dan 1998
    Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu Skim Perkhidmatan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam telah diperkenalkan dan berkuatkuasa mulai 1hb Mac 1992 iaitu bagi menggantikan Syarat-Syarat Lantikan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung 1973.

    Di bawah skim ini satu dasar baru telah diperkenalkan bagi pengisian jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung iaitu melalui proses pemilihan dan pengundian di mana mereka ini diundi oleh rakyat dan penduduk di Mukim dan Kampung berkenaan.

    Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Skim Perkhidmatan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung 1992 telah digantikan dengan Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam 1998 yang berkuatkuasa pada 1 hb Februari 1998.

  8. Skim Perkhidmatan Ketua-Ketua Rumah Panjang mulai 1hb April 2004
    Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu skim perkhidmatan bagi Ketua Rumah Panjang telah diperkenalkan pada tahun 1992.

    Mulai 1hb April 2004, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan perubahan bagi bayaran elaun kepada Ketua Rumah Panjang digantikan dengan bayaran gaji bulanan dan beberapa orang Ketua Rumah Panjang telah dinaikkan taraf menjadi Ketua Kampung.

  9. Program / Projek Pembaharuan / Penambahbaikan Perkhidmatan Awam
    Program / Projek Pembaharuan / Penambahbaikan Perkhidmatan Awam yang turut diusahakan oleh Kementerian ini ialah Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR), Manual Prosedur Kerja (MPK), Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) dan Kumpulan Bertindak (Action Team). Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah manyediakan TPORnya seawal tahun 1994 yang mana dikenali sebagai "Piagam Pelanggan".