12/06/2010

Isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan rombongan berkunjung ke Daerah Tutong


ISTERI Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Salmah dan rombongan semasa mengadakan kunjungan ke Daerah Tutong.

TUTONG, Rabu, 7 Oktober – Isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah berserta rombongan telah membuat kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke mukim-mukim dan kampung-kampung di Daerah Tutong.

Rombongan Datin Paduka terdiri daripada isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Hajah Norhayati binti Haji Abu Bakar, isteri Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), isteri Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, isteri-isteri ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN, isteri pegawai-pegawai kanan KHEDN dan isteri penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara.

Datin Paduka berserta rombongan telah mengunjungi rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong dan disambut oleh isteri Pegawai Daerah Tutong, Dayang Hajah Marliyana binti Abdullah Fung dan seterusnya berkunjung ke rumah isteri Ketua Kampung Sungai Kelugos, Pengiran Hajah Rohayah binti Pengiran Haji Kahar.

Terdahulu, Datin Paduka dan rombongan berkesempatan berkunjung ke rumah isteri Ketua Kampung Sengkarai, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Taim.

Kunjungan yang disempenakan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini antaranya bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara isteri para pegawai KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan isteri penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.