
ISTERI Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Dayang Hajah Salmah
binti Haji Hanafiah mengetuai rombongan yang berkunjung ke Daerah Belait
KUALA BELAIT, Rabu, 7 Oktober – Isteri Isteri Menteri Hal Ehwal Dalam
Negeri, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah bersama rombongan
isteri-isteri dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan
jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan kunjungan dan ramah mesra ke Kediaman
Rasmi isteri Pegawai Daerah Belait, Dr. Hajah Jamilah binti Haji Mohd. Yusof
dan beberapa kediaman isteri ketua kampung di Daerah Belait.
Menyertai rombongan tersebut, isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,
Datin Hajah Norhayati binti Haji Abu Bakar serta isteri-isteri ketua-ketua
jabatan di bawah KHEDN, isteri-isteri pegawai-pegawai kanan kementerian
berkenaan dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
Dari kediaman isteri Pegawai Daerah Belait, rombongan yang diketuai oleh
isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seterusnya mengadakan kunjungan ke
rumah isteri Ketua Kampung Pandan A dan rumah isteri Ketua Kampung Lumut II.
Dari Daerah Belait, isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan rombongan akan
meneruskan kunjungan ke Daerah Tutong dengan singgah ke Kediaman Rasmi
isteri Pegawai Daerah Tutong dan juga ke rumah isteri Ketua Kampung
Sengkarai dan rumah isteri Ketua Kampung Kelugos.
Kunjungan tersebut merupakan salah satu program yang diadakan setiap tahun
bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim, kerjasama dan perpaduan di
kalangan ahli-ahli persatuan wanita di Daerah Belait.