12/06/2010

Majlis Pelancaran Jerayawara Penyediaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan


MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan ketika mersamikan Majlis Pelancaran Jerayawara Penyediaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md Yusof, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Pelancaran Jerayawara Penyediaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Jerayawara Penyediaan Pelan Induk Kemajuan BSB diadakan bertujuan bagi membarigakan kepada orang ramai khususnya pihak yang berkepentingan dalam pembangunan dan kemajuan BSB mengenai adanya penyediaan pelan induk tersebut disediakan oleh HOK International (Asia Pasifik) Limited.

Pelan induk berkenaan merupakan pelan kemajuan yang komprehensif dan bersepadu yang disediakan untuk menyelaraskan hala tuju dan strategi pembangunan BSB.

Antara yang diambil kira dalam pelan induk tersebut ialah aspek sosioekonomi, kependudukan dan pekerjaan, guna tanah persekitaran dan reka bentuk bandar serta alam semula jadi, kemudahan asas dan sebagainya.

Sejurus pelancaran jerayawara penyediaan pelan induk itu, beberapa aktiviti telah disusun termasuk bengkel wawasan, penglibatan orang ramai serta pameran.

Juga hadir di majlis pelancaran jerayawara itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Dani bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.