


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam rangka lawatan kerja ke
Mukim Ukong
TUTONG, Sabtu, 17 Oktober – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md Yusof, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat Lawatan Kerja ke Mukim Ukong dan Kampung Bukit Udal, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong pada hari Sabtu, 27 Syawal 1430 bersamaan 17 Oktober 2009.
Tujuan lawatan tersebut antara lain bagi meninjau dan melihat secara dekat mengenai perkembangan dan kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan di mukim tersebut. Lawatan kerja ini akan dapat menjalin silaturahim di antara penduduk kampung dan pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Tutong. Di samping itu, lawatan tersebut juga untuk menggalakkan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti dan program-program yang boleh menyatupadukan dan memberikan semangat perpaduan dan digalakkan untuk berkecimpung dalam perekonomian di mana terdapat peluang-peluang yang membolehkan penduduk menggiatkan ekonomi mereka.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mawardi bin Haji Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Haji Idris bin Haji Md. Ali, Pegawai Daerah Tutong; ketua-ketua Jabatan dan beberapa pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Tutong.
Yang Berhormat Pehin berserta rombongan memulakan lawatan ke Dewan Kemasyarakatan Kampung Tanjong Maya. Dewan Kemasyarakatan ini adalah salah satu lagi kemudahan asas yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui projek di bawah penyelanggaraan Jabatan Daerah Tutong. Pembinaan Dewan Kemasyarakatan Kampong Tanjong Maya disediakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kepada penduduk kampung dan masyarakat sekitarnya. Dewan tersebut terletak di kawasan seluas 0.4726 hektar berseberangan Masjid Kampung Tanjong Maya.
Seterusnya Yang Berhormat Pehin dan rombongan menuju ke kediaman YM Awang Mohd Nendaroh bin Datu Kornia Diraja Gadong, Ketua Kampung Ukong.
Yang Berhormat Pehin dan rombongan juga meninjau projek rumah daif Dayang Malum binti Ilan di Kampung Bukit. Semasa melawat ke Kampung Bukit, Yang Berhormat Pehin juga menyampaikan bantuan barangan makanan kepada Dayang Malum.
Tempat yang seterusnya dikunjungi ialah kediaman YM Awang Muhd Shadiqin bin Abdullah Janjam, Ketua Kampung Bukit.
Yang Berhormat Pehin dan rombongan juga meninjau Kawasan Tanaman Padi berkelompok Majlis Perundingan Kampung Bukit. Semasa berada di kawasan tanaman padi, Yang Berhormat Pehin dan rombongan telah berkesempatan mendengar taklimat mengenai perkembangan tanaman padi dan permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha tanaman padi tersebut.
Seterusnya rombongan meninjau projek rumah daif Awang Jalak bin Diman di Kampung Bukit. Bantuan barang keperluan harian juga disampaikan kepada Awang Jalak.
Yang Berhormat Pehin dan rombongan juga telah membuat lawatan ke Dewan Serbaguna Kampung Bukit.
Lawatan seterusnya ialah ke Balai Raya Kampung Long Mayan dan kawasan Tamu Muafakat Kampung Long Mayan. Lawatan ke sini adalah untuk meninjau kemudahan asas yang disediakan oleh pihak Kerajaan.
Rombongan kemudiannya berkunjung ke kediaman YM Awang Haji Omar bin Haji Abd Aziz, Penghulu Mukim Ukong untuk mendengar mengenai latar belakang kampung, perkembangan dan kemajuan kampung serta permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung daripada ketua-ketua kampung di mukim tersebut. Dalam lawatan itu Yang Berhormat Pehin telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Ukong dan mendengarkan permasalahan yang dihadapi para penduduk kampung, perancangan-perancangan masa depan termasuk yang telah, sedang dan akan dijalankan.
Lawatan Kerja Yang Berhormat Pehin diakhiri dengan lawatan ke Anak Pulau Bukit Kukub, Kampung Bukit Udal. Projek menjadikan Anak Pulau Bukit Kukub sebagai taman rekreasi untuk menarik pelancongan adalah projek Anugerah Kampung Cemerlang yang diungkayahkan oleh Majlis Perundingan Kampung Bukit Udal, Mukim Tanjong Maya.
Dengan adanya lawatan kerja seperti ini dihasratkan akan memberi peluang kepada penghulu dan ketua-ketua kampung berinteraksi serta memberi maklumat yang terkini kepada yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan rombongan mengenai hal ehwal kampung dan penduduk mukim tersebut. Segala masalah dan kekurangan perlu diberikan keutamaan dalam memberikan kemudahan-kemudahan sama ada yang berbentuk infrastruktur dan prasarana-prasarana yang perlu diperbaiki ataupun dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di tempat masing-masing. Tinjauan ke projek rumah daif menunjukkan betapa pemeduliannya kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan di atas setiap permasalahan rakyat di negara ini.
Infrastruktur kemudahan awam seperti dewan-dewan kemasyarakatan yang disediakan akan dijadikan sebagai wadah bagi penduduk-penduduk kampung untuk menggunakannya bagi tujuan mengadakan aktiviti-aktiviti sama ada berbentuk kemasyarakatan, sosial, sukan dan sebagainya supaya akan dapat lagi meningkatkan perpaduan, persefahaman, keharmonian dan juga kemakmuran penduduk kampung. Dewan-dewan berkenaan akan dapat digunakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Majlis Perundingan Mukim (MPM) yang diharap akan dapat memantapkan lagi Institusi Penghulu dan Ketua Kampung serta MPK dan MPM.
Mukim Ukong adalah salah satu daripada lapan mukim yang ada di Daerah Tutong.