
Yang Berhomat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama delegasi negara pada
mesyuarat INTERPOL ke-78 di Singapura.
SINGAPURA, Isnin, 12 Oktober – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin
Begawan Pehin Diraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof telah mengetuai
rombongan delegasi Brunei ke Singapura bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat
Menteri, Perhimpunan Agung INTERPOL ke-78 yang bermula pada 11 hingga 12
Oktober.
Antara anggota rombongan yang menyertai delegasi negara ialah pesuruhjaya
Polis Diraja Brunei, Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin Jailani dan pegawai
kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan pasukan Polis Diraja Brunei.
Mesyuarat peringkat menteri itu adalah yang julung kali diadakan yang
dirasmikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Pada mesyuarat berkenaan beberapa sesi panel perbincangan berlangsung dan
difokuskan kepada tiga sesi seperti Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa:
Cabaran baru, Reformasi dan Penstrukturan semula: Rangka kerja Strategik
bagi Kepolisan Antarabangsa dan Memantapkan Kapasiti Kepolisan serta
Penguatkuasaan Undang-undang Dalam Operasi Pengamanan.
Mesyuarat peringkat menteri dalam Perhimpunan Agung Interpol itu sepakat
mencapai persetujuan untuk membuat satu deklarasi mengenai betapa
mustahaknya peranan polis dalam menjana dan memantapkan keamanan dan
keselamatan yang berdaya tahan dan memastikan usaha untuk menyediakan misi
pengaman polis antarabangsa ke arah kepolisan antarabangsa dengan lebih
berkesan pada tahun akan datang.
Ini dicapai dengan mengiktiraf fungsi penting polis dalam memantapkan
keamanan yang berterusan dan membangunkan masyarakat selepas persekitaran
pasca konflik, dan seterusnya memenuhi kehendak yang lebih mencabar bagi
polis dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meningkat dari fokus tradisi
yang menjurus kepada pemantauan, pemerhatian dan laporan, kepada fokus yang
lebih besar dalam membangunkan kapasiti dan institusi kepolisan yang efektif
dan bertanggungjawab dan seterusnya mengingatkan yang Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu mungkin akan diberikan mandat untuk terlibat dalam
kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang sementara atau memberikan bantuan
operasi secara tertutup kepada sesebuah negara dan agensi penguatkuasaan
undang-undang lain.
Selain itu mandat itu juga menyedari tugas kepolisan antarabangsa dalam
persekitaran pasca konflik boleh menjadi penghubung operasi keselamatan dan
pengamanan kepada proses pembangunan dan perlaksanaan undang-undang.
Selanjutnya mandat itu menekankan kepentingan tindakan awal negara berkenaan
bagi memastikan keamanan dan keselamatan yang berdaya tahan.
Terdapat keperluan bagi pegawai untuk memiliki kemahiran dan kepakaran yang
tertentu bagi menjalankan tugas polis dalam konteks pengaman Bangsa-bangsa
Bersatu dengan efektif.
Untuk tujuan itu usaha berterusan perlu dilaksanakan dalam menyediakan
rangka standard pemilihan, latihan dan kerahan tenaga.
Perkongsian kerjasama di antara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan
Interpol dalam memantapkan keselamatan yang berdaya tahan dan memandangkan
betapa pentingnya peranan polis dalam memantapkan keselamatan yang berdaya
tahan dalam persekitaran pasca konflik dan pentingnya untuk memastikan
anggota polis berkelayakan dan memiliki akses kepada peralatan yang
diperlukan dalam menghadapi cabaran di bidang tertentu termasuk membantu
membanteras jenayah yang serius dan terancang.
Selain itu Perhimpunan agung Interpol itu juga menekankan perlunya bagi
setiap negara untuk menyediakan anggota polis yang memiliki keupayaan yang
efektif untuk memenuhi keperluan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang
sejagat.
Usaha ke arah mencapai konsensus ke arah perkembangan doktrin kepolisan
antarabangsa dalam persekitaran pasca konflik yang harmoni dan standard
secara efektif serta memantapkan pengetahuan dan amalan terbaik yang
dikembangbiakkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Interpol selama
ini adalah antara yang dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan.