12/06/2010

Jerayawara Skim Persaraan Caruman Tambahan atau Supplemental Contributory Pension (SCP)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober – Kementerian Kewangan telah mengadakan Jerayawara Skim Persaraan Caruman Tambahan atau Supplemental Contributory Pension (SCP) kepada para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang berlangsung di bangunan KHEDN di ibu negara.

Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail telah memberikan ucapan di majlis tersebut.

Awang Haji Roselan bin Haji Mohd. Daud, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran) Kementerian Kewangan, dalam taklimatnya pula menjelaskan, Skim SCP merupakan skim persaraan menyeluruh yang bukan sahaja meliputi rakyat dan penduduk tetap negara ini yang bekerja di sektor awam dan swasta, tetapi setiap rakyat dan penduduk tetap negara ini yang juga mendapat sumber rezeki informal.

Skim SCP ini juga merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim TAP yang dilaksanakan pada masa ini.

Seramai kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna kementerian berkenaan.

Juga hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji ‘Abdoh bin DSS Haji Abd Salam.